SIBF 2023 | Connecting Heart and Mind

Top

Blog

Uncategorised PPAS bawa pengedar, penerbit luar negara ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor Disember ini

PPAS bawa pengedar, penerbit luar negara ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor Disember ini

Source: Selangor Kini

SHAH ALAM, 30 SEPT: Buat julung kalinya, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) membawa pengedar dan penerbit buku luar negara di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 pada Disember ini.

Ketua Bahagian Korporatnya Zafrullah Aris berkata Bloomsbury dan Wiley dari United Kingdom dan Brand Media dari Indonesia antara yang menyertai pesta di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 13 pada 1 hingga 11 Disember.

“Penganjuran pada kali ini agak berbeza kerana melibatkan pemain antarabangsa. Program dimeriahkan dengan penyertaan pengedar dari luar negara yang akan membawa buku-buku daripada syarikat masing-masing.

“Selain mengekalkan syarikat tempatan, kita juga bawa lebih ramai pempamer dari luar negara untuk menyertai pesta buku pada kali ini,” katanya kepada Selangorkini.

Tambahnya, terdapat beberapa aktiviti sampingan antarabangsa dianjurkan seperti Peraduan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor yang melibatkan penceramah dari luar negara dan Anugerah Yusuf Gajah iaitu pelukis lukisan naif.

Menerusi program ini, peserta berpeluang menyertai bengkel membaca, klinik ilustrator, seminar dan bimbingan daripada penggiat buku kanak-kanak.

“Kita juga mengadakan program Selangor Fellowship dengan menjemput penerbit buku dari serata dunia supaya dapat bertemu dengan pembekal buku di Malaysia.

“Sebahagian daripada aktiviti ini akan melibatkan juri dari negara luar seperti Brazil, Iran dan Jepun. Juri yang datang ini juga mempunyai forum khas untuk berkongsi ilmu seperti acara bual bicara Hati dan Minda Sasterawan,” katanya.

PPAS menganjurkan Pesta Buku Selangor sejak 16 tahun lalu, namun pada kali ini memperkenalkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.