SIBF 2023 | Connecting Heart and Mind

Top

Blog

SIBF2022 Perpustakaan Selangor, Turki Tingkatkan Program Felo Penerbit

Perpustakaan Selangor, Turki Tingkatkan Program Felo Penerbit

Source: Berita Harian

FRANKFURT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Turkish Press and Publishers Copyright and Licencing Society (TBYM) menandatangani dokumen persefahaman awal untuk meningkatkan kerjasama strategik program felo penerbit antara kedua-dua pihak di Pesta Buku Frankfurt di sini, hari ini.

Persefahaman ini membolehkan pertukaran kepakaran dan promosi antara Selangor International Fellowship Programme yang akan dibuka sebelum hujung tahun ini dengan program Istanbul Publishing Fellowship.

Pengarah PPAS, Datin Mastura Muhamad, berkata pengalaman Turkiye amat mengagumkan untuk dipelajari bagi memastikan program felo di bawah PPAS dapat mencapai matlamatnya.

“Selain persetujuan saling mempromosi program felo masing-masing, kedua-dua pihak bersetuju meneroka potensi kerjasama dalam bidang penulisan, pendidikan dan latihan bagi memajukan industri buku.

    “Ini kerana SIBF disasarkan untuk menjadikan Selangor sebagai hab hak cipta buku kanak-kanak di Asia Tenggara dengan mempromosi karya Malaysia dan bekerjasama dengan rakan strategik antarabangsa,” katanya selepas sesi menandatangani dokumen persefahaman awal di Pavilion Malaysia.

    Yang turut hadir Ketua Jawatankuasa Penyelaras Istanbul Publishing Fellowship, Emrah Kisakurek dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) merangkap Ketua Delegasi Malaysia Ke Pesta Buku Frankfurt, Mohd Khair Ngadiron.

    Mastura berkata, program perintis ini akan ditawarkan kepada lima rakan antarabangsa terpilih yang akan menganjurkan bual bicara, seminar dan bengkel untuk berkongsi pengalaman mereka dengan penggerak industri buku tempatan.

    “Program ini juga berpotensi untuk menggalakkan ‘kembara buku’ di Selangor khususnya dan Malaysia umumnya,” katanya.

    Sementara itu, Emrah berkata, TBYM memulakan program felo sejak 2016 dengan 17 felo terpilih daripada 14 negara, manakala tahun ini menyaksikan pembabitan 555 felo daripada 72 negara.

    Hubungan strategik itu memberikan nilai tambah kepada misi PPAS ke pesta buku terbesar dan tertua di dunia, iaitu untuk mempromosi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang bakal berlangsung awal Disember ini.

    Pesta Buku Frankfurt disertai 4,000 pempamer dari 95 negara akan berakhir esok, turut membabitkan delegasi Malaysia dalam kalangan penerbit institusi kerajaan dan Sekolah Seni Kuala Lumpur, selain penerbit buku besar, persendirian serta swaterbit.

    Penerbit tanah air juga berpeluang menjual dan membeli hak cipta karya serta buku merentas genre dihasilkan pengarang antarabangsa dalam kalangan sarjana, negarawan, sasterawan dan tokoh pelbagai bidang.