SIBF 2023 | Connecting Heart and Mind

Top

Blog

SIBF2022 Pesta Buku Selangor kini berstatus antarabangsa

Pesta Buku Selangor kini berstatus antarabangsa

Pesta buku tersebut dikenali dengan nama baharu: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF)

Source: Mukasurat.my

SETELAH 16 tahun penganjurannya, Pesta Buku Selangor kini mendapat status antarabangsa dengan nama baharu Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF).

Hal tersebut diumumkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerusi hantaran di semua rangkaian media sosial mereka pada minggu lalu.

Menerusi hantaran tersebut, PPAS selaku penganjur utama SIBF turut mengumumkan tarikh serta lokasi bagi penganjuran pesta buku tersebut bagi edisi 2022.

SIBF bagi edisi pertama ini, lokasi acara berubah daripada kebiasaannya di SACC Mall, Shah Alam kepada Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, bermula 1 hingga 11 Disember ini.

Penyertaan penerbit antarabangsa

Memetik laporan SelangorKini, ketua unit korporat PPAS, Zafrullah Aris berkata, penerbit ternama seperti Bloomsbury dan Wiley dari United Kingdom serta Brand Media dari Indonesia antara penerbit antarabangsa yang bakal turut serta dalam penganjuran sulung SIBF ini.

“Penganjuran pada kali ini agak berbeza kerana melibatkan pemain antarabangsa. Program dimeriahkan dengan penyertaan pengedar dari luar negara yang akan membawa buku-buku daripada syarikat masing-masing.

“Selain mengekalkan syarikat tempatan, kita juga bawa lebih ramai pempamer dari luar negara untuk menyertai pesta buku pada kali ini,” katanya kepada Selangorkini.

Pelbagai program poket

SIBF edisi pertama ini juga, tambahnya, akan memperkenalkan beberapa program poket seperti Peraduan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor serta penganjuran Anugerah Yusuf Gajah yang akan melibatkan penceramah serta penyertaan dari luar negara.

Menerusi program ini, peserta berpeluang menyertai bengkel membaca, klinik ilustrator, seminar dan bimbingan daripada penggiat buku kanak-kanak.

“Kita juga mengadakan program Selangor Fellowship dengan menjemput penerbit buku dari serata dunia supaya dapat bertemu dengan pembekal buku di Malaysia.

“Sebahagian daripada aktiviti ini akan melibatkan juri dari negara luar seperti Brazil, Iran dan Jepun. Juri yang datang ini juga mempunyai forum khas untuk berkongsi ilmu seperti acara bual bicara Hati dan Minda Sasterawan,” katanya.